Kali terakhir Wardina Safiyyah muncul di kaca televisyen adalah menerusi drama bersiri "Impian Illyana" pada tahun 2008. Namun pelakon dan pengacara ini mengakui tidak rindu atau kesal meninggalkan bidang lakonan kerana kehidupannya lebih tenang.
"Saya tiada hati untuk berlakon, malah tidak rasa kesal atau rindu sedikit pun terhadap bidang itu.
"Bagi saya, industri hiburan sangat memberi tekanan apabila semuanya ingin menjadi lebih baik dan bersaing untuk mendapatkan sesuatu tawaran," ujarnya seperti dipetik dari mStar.
Wardina, 35, turut berpendapat bahawa industri seni tempatan tidak perlu terlalu mengikuti perkembangan industri seni luar seperti Hollywood.
"Kita ada identiti kita sebagai negara Islam. Kalau tidak seksi sekalipun, kita tetap akan disukai melalui bakat yang ada."
Pemilik nama sebenar Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot ini menamba, walaupun sudah hampir tiga tahun tidak aktif dalam industri seni, dia masih mempunyai jumlah pengikut yang ramai.
Dalam perkembangan lain, Wardina bakal menyambung pengajian dalam bidang psikologi di Brisbane, Australia pada Jun ini. Wardina memilih bidang psikologi kerana rasa bertanggungjawab terhadap masalah dalam masyarakat.
"Saya tidak tahu mengapa orang sering berkongsi masalah mereka dengan saya melalui Facebook.
"Masalah mereka kebanyakannya sangat rumit, namun saya hanya bantu mereka mencari laluan yang betul untuk menyelesaikan masalah itu," katanya.
Malah Wardina memberitahu ada juga rakan artis yang bertemu dengannya untuk meminta nasihat.
Sebelum ke Australia, Wardina berharap dia dapat menyiapkan dua buah buku yang hampir dua tahun tertangguh.
"Alhamdulillah, buku pertama saya, "Mama, Saya Nak Makan" untuk kanak-kanak berjaya menjadi jualan buku terlaris di kedai buku MPH.
"Sekarang saya ingin menyiapkan dua buah buku lagi sebelum pergi ke Australia iaitu bertajuk "Mama, Saya Nak Solat" dan sebuah lagi buku kanak-kanak lain," akhirinya.